Peredaran zaman dan kemajuan teknologi mungkin merubah strategi dan
doktrin ketenteraan, begitu juga ketiga-tiga cabang darat, laut dan
udara mesti mampu untuk beroperasi bersama bagi memenangi peperangan.
Namun hakikatnya, peperangan darat masih kekal dengan infantri sebagai
teras kuasa tempur angkatan darat terbabit yang menentukan kalah-menang
pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu konflik.
Pertempuran infantri adalah bentuk peperangan yang paling mencabar
kekuatan diri kerana setiap anggota infantri yang terlibat perlu
menghadapi pelbagai kemungkinan, antaranya bertempur secara rapat dan
berdepan-depan dengan musuh. Ketika ini mereka harus menggunakan apa
sahaja yang ada sebagai benteng terakhir untuk menghadapi serangan
musuh.
Benet adalah antara senjata yang digunakan dalam
keadaan seperti itu, selalunya apabila anggota-anggota infantri terbabit
telah kehabisan peluru. Benet merupakan pisau yang dipasang pada
muncung rifel dan digunakan untuk membunuh soldadu lawan dengan cara
tikaman. Senjata tajam ini begitu sinonim dengan infantri hinggakan
selain masih kekal sebagai salah satu peralatan wajib infantri, ia juga
menjadi sebahagian dari lambang kepada sesetengah kor dan rejimen,
formasi briged dan divisyen serta pusat latihan bagi cabang tempur
tersebut. Malah benet juga diguna pakai dalam cabang perkhidmatan laut
dan udara serta pasukan polis awam semasa perbarisan istiadat.
Asal-usul
Nama
benet (juga sering dieja sebagai bayonet) berasal dari perkataan
Perancis (baïonnette) yang bermaksud pisau, belati atau senjata
berbentuk tombak yang direkabentuk supaya muat dipasang pada laras
senapang. Benet dikatakan direka oleh kaum Basque, golongan rakyat murba
(peasant) yang menghuni bandar Bayonne di selatan Perancis semasa
peperangan yang melibatkan mereka pada pertengahan abad ke-17.
Pejuang-pejuang kaum ini yang kehabisan peluru, telah menyumbat
muncung senapang lantak (musket) kuno masing-masing dengan hulu pisau
pemburu mereka yang berbilah panjang, menjadikan senapang mereka sebagai
tombak ‘sementara’ lalu menyerang musuh yang berada di hadapan. Ia
telah memberi ilham kepada tentera darat Perancis untuk menjadikannya
senjata tempur berapat-rapat, hasil usaha seorang pegawainya, Jeneral
Jean Martinet.
Penggunaan pisau ini juga telah mempengaruhi
taktik infantri Eropah Barat seterusnya di peringkat sejagat hingga ke
hari ini. Satu lagi versi menyatakan benet pertama dalam sejarah
ketenteraan dicipta dan digunakan di China pada abad ke-13, bermula dari
masalah ketidaktepatan peluru senapang lantak dan masa yang diambil
untuk mengisi peluru bersama serbuk belerang ke dalam senjata api itu.
Oleh kerana pertempuran infantri di zaman tersebut berlaku secara
berapat-rapat dalam jarak yang semakin dekat bagi setiap gelombang
tembakan, benet adalah senjata yang sesuai kerana ia menghasilkan luka
yang mampu membunuh atau sekurang-kurangnya mengakibatkan kecederaan
parah yang mengurangkan keupayaan tempur anggota musuh. Apabila anggota
infantri musuh menyerbu dengan pantas dan berada dalam jarak terlalu
dekat untuk senapang digunakan dengan berkesan, cara terbaik untuk
menewaskannya adalah dengan penggunaan senjata tajam, sama seperti
penggunaan pedang sebelum senjata api dicipta.
Rekabentuk – Dahulu dan Sekarang
Seperti
yang telah diterangkan tadi, benet awal adalah dari jenis yang dicucuk
hulunya ke dalam laras senjata menyebabkan senjata tidak dapat digunakan
untuk menembak apabila benet digunakan. Oleh yang demikian benet dengan
tangkai berbentuk gegelang yang disarung ke bahagian luar muncung
senapang telah direka menjelang akhir 1670an. Penggunaan benet seperti
ini membolehkan penembakan dilakukan tanpa perlu mencabut benet dari
laras, dan benet boleh terus digunakan apabila keadaan memerlukan.
Bagaimanapun rekabentuk ini masih satu kelemahan kerana ia tidak dapat
digunakan berasingan dengan senapang. Kerana ketiadaan hulu sebenar yang
cukup panjang untuk digenggam dengan tangan, senjata tajam tersebut
tentunya tidak dapat dipegang dengan tetap serta selamat apabila
digunakan sebagai pisau dan pasti akan mencederakan penggunanya sendiri,
melainkan ia dari jenis lembing. Untuk mengatasi masalah ini benet
dengan hulu berbentuk bulatan berongga (soket) yang muat untuk
disarungkan ke muncung senapang direka. Jenis benet seperti ini
digunakan dengan meluas oleh tentera negara-negara Eropah dari abad
ke-17 hingga awal abad ke-20. Percaya atau tidak, ada rifel moden yang
masih menggunakan benet jenis ini seperti sesetengah model rifel FN FAL
(Belgium) dan INSAS (India).
Benet berbentuk pedang pula
menyusul pada abad ke-19. Ia adalah senjata berbilah panjang dengan satu
atau dua mata yang juga boleh digunakan sebagai pedang pendek. Namun
begitu benet pedang ini mempunyai kelemahannya kerana beratnya apabila
dipasang di muncung rifel akan menyebabkan muncung rifel teranjak ke
bawah setiap penembakan dilakukan, menyebabkan anggota tentera yang
menggunakannya cenderung untuk tidak memasang benet ini dalam
pertempuran. Benet jenis inilah yang kemudiannya membuka jalan kepada
penggunaan benet berbentuk pisau iaitu jenis benet moden yang paling
luas penggunaannya sekarang. Sesetengah angkatan darat masih menggunakan
benet panjang ini hingga ke abad ke-20, antaranya tentera Jepun semasa
Perang Dunia Kedua. Benet jenis pedang dan pisau mempunyai ‘hilt’ atau
kepingan besi penghadang di antara hulu dengan mata) yang berlubang agar
dapat disarungkan ke laras rifel dan mekanisme hilt yang membolehkan
benet dipasangkan kepada alur benet yang dibuat di laras. Apabila
dicabut dari rifel, benet ini berfungsi sebagai senjata peribadi dalam
pertempuran berapat-rapat dengan musuh.
Seperti yang
dinyatakan tadi, benet pisau adalah evolusi dari benet pedang dan hanya
berbeza dari segi ukuran panjang bilah mata. Aliran penggunaan benet
jenis ini bermula semasa Perang Dunia Pertama apabila ukuran panjang
mata benet pedang beransur-ansur dikurangkan hingga menjadi sependek
mata pisau biasa. Oleh yang demikian fungsinya juga berganda sebagai
pisau tempur. Hari ini benet moden menampilkan pelbagai ciri khas yang
membolehkannya berfungsi lebih dari sebilah pisau untuk dipasang di
hujung rifel dan menikam musuh – benet moden juga kini digunakan sebagai
alat ikhtiar hidup, pemotong dawai dan sebagainya. Jika dahulu
rata-rata mata benet pisau adalah lurus, kini sesetengahnya direka
dengan mata gergaji bagi tujuan mengerat sebarang benda keras seperti
kayu atau tali yang tebal dan kasar. Benet yang mempunyai ciri-ciri
mirip sebilah pisau tempur serbaguna ini masih dihasilkan dan banyak
digunakan khasnya oleh tentera negara-negara maju walaupun pisau ikhtiar
hidup khusus yang berasingan turut dibekalkan kepada para anggotanya.
Kebanyakan benet moden juga mempunyai permukaan cekung di tengah-tengah
separuh atas bilahnya bagi mengurangkan berat benet tetapi dalam masa
yang sama mengekalkan ketegangan bilah. Selain itu permukaan tersebut
turut meningkatkan kekuatan bengkokan pada bilah senjata tajam ini.
Sesetengah benet pisau contohnya seperti yang terdapat pada rifel SKS
Rusia, merupakan sebahagian dari rifel di mana ia dipasang secara tetap
dan boleh dilipatkan ke bawah laras apabila tidak digunakan.
Walaupun kebanyakan benet yang digunakan di seluruh dunia hari ini
adalah benet pisau, benet lembing (spike bayonet) juga masih digunakan
dan ia boleh didapati pada rifel Type 56 dan karbin Type 68 (AK-47 dan
SKS versi buatan China) di mana ia dipasang dengan mekanisme yang
membolehkannya dilipatkan ke bawah laras apabila tidak digunakan. Rifel
Mosin Nagant (Rusia), MAS-36 (Perancis) dan FG 42 (Jerman) yang
digunakan semasa Perang Dunia Kedua turut dilengkapi dengan benet
lembing. Namun begitu kerana bentuk fizikalnya, ia tidak popular
dikalangan angkatan-angkatan darat dunia kerana tidak boleh dijadikan
pisau tempur/serbaguna serta hanya boleh digunakan sebagai senjata
tikaman, bukan tetakan sepertimana benet berbentuk pisau. Mata benet
biasanya diperbuat daripada keluli khasnya dari jenis yang mempunyai
ketahanan tinggi bagi mengatasi kemungkinan patah atau bengkok.
Penggunaan Benet – Fakta dan Persoalan
Setiap
benet pisau dan benet pedang dilengkapi dengan sarung (scabbard) yang
dipasang pada talipinggang pada pakaian seragam anggota, dari pakaian
seragam untuk perbarisan istiadat hingga ke pakaian seragam tempur. Ada
juga sarung benet yang dipasang pada anak baju taktikal supaya lebih
mudah dicapai seperti yang dilakukan oleh tentera darat Kanada. Ini
kerana dalam operasi infantri moden, benet tidak dipasang sepanjang masa
di hujung rifel sepertimana pada abad ke-19 dan sebelumnya. Benet yang
dipasang pada rifel dalam tempoh berpanjangan akan mengurangkan
ketepatan tembakan pada jarak jauh kerana beratnya boleh mengganggu
keseimbangan rifel. Apabila ia perlu digunakan, benet akan dipasang pada
hujung rifel di mana alur benet yang dibuat di belakang pengedap
percikan api akan ‘memegang’ benet manakala pengunci yang berada di
belakang kedudukan pengedap percikan api akan menahan bahagian bawah
hulu benet untuk mengelakkannya dari bergoyang atau tergelincir ke
belakang atau tercabut semasa benet dihayun ke arah lawan dan ditikam ke
sasaran.
Sebagai senjata yang telah dipelbagaikan
peranannya kepada pisau serbaguna menerusi perubahan rekabentuk, benet
mempunyai pelbagai fungsi dan setiap bahagiannya baik bilah mahu pun
hulunya berguna untuk melakukan pelbagai tugas. Sebagai contoh
kebanyakan benet moden sama ada buatan Barat mahupun Rusia mempunyai
lubang atas bahagian atas hujung matanya untuk dimuatkan pada tombol di
hujung sarung dan apabila disilangkan, digunakan untuk mengerat dawai.
Selain itu ada juga yang dilengkapi dengan pemutar skru dan pembuka
botol malah lampu neon mini yang memberi amaran kepada penggunanya
tentang kewujudan arus elektrik pada dawai yang dikerat! Disamping
menjadi alat bantuan untuk mengerat dawai, sarung benet juga mempunyai
satu fungsi yang tidak kurang penting iaitu sebagai alat pengasah bagi
mata benet itu sendiri. Dahulu batu asah dipasang dalam sarung di mana
ia akan berfungsi setiap kali benet dikeluarkan dan disarung kembali
namun kini batu asah dipasangkan di luar sarung kerana cara ini lebih
praktikal. Sesetengah sarung benet moden turut dibuat agar boleh
dipasang dengan saku kecil di luarnya bagi memuatkan barangan tertentu
seperti kelopak peluru untuk pistol, misalnya.
Penggunaan
benet dalam pertempuran adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan
kerana ia pernah dan masih dianggap oleh sesetengah pihak termasuk
pemerhati ketenteraan sebagai sesuatu yang usang dalam zaman moden ini.
Hujah mereka, dengan adanya alat pandang malam (NVD) berteknologi tinggi
yang begitu mudah didapati dan dioperasikan oleh banyak angkatan darat,
serangan ‘gelombang manusia’ dengan benet terhunus seperti yang biasa
dipaparkan dalam filem-filem perang klasik bakal mengundang malapetaka
kepada penyerang dalam bentuk hujan peluru dari rifel tempur dan
mesingan serta lain-lain senjata bantuan yang bakal merobek tubuh mereka
sebelum sempat membenamkan benet ke tubuh lawan! Ia sememangnya tidak
dapat disangkal lagi namun persoalannya, mengapa benet masih lagi
digunakan dengan meluas oleh kesemua angkatan darat dunia dari milik
kuasa-kuasa besar hinggalah ke negara-negara dunia ketiga? Mengapa para
rekrut dan pegawai kadet dalam cabang perkhidmatan berkenaan masih lagi
dilatih bertempur menggunakan benet sebagai sebahagian dari pelajaran
ilmu medan perang (IMP) dalam alaf baru ini? Jika benar benet tidak lagi
perlu dalam peperangan infantri moden mengapa semua rifel tempur yang
ada hari ini termasuk versi laras pendek dan bullpup masih mempunyai
alur dan kuncian benet?
Jawapannya ada medan dan suasana
pertempuran darat itu sendiri. Walaupun benet dikatakan semakin kurang
penggunaannya bersama peningkatan teknologi persenjataan moden, aksesori
awal rifel ini terus kekal sebagai perkakasan wajib infantri walau di
mana juga bahagian dunia - dalam angkatan darat, kor marin, cabang
pertahanan darat angkatan udara, cabang separa tentera polis awam,
militia bahkan unit-unit gerila. Seperti yang telah di awal rencana ini,
apa sahaja boleh berlaku dalam suasana gawat pertempuran. Sama ada
semasa peperangan revolusi Amerika pada tahun 1770an hinggalah ke
konflik Iraq dan Afghanistan dalam zaman yang juga digelar sebagai abad
peperangan siber ini - bekalan peluru habis, senjata mengalami kerosakan
dan jarak di antara kedua-dua pihak yang bertempur yang boleh mengecil
dalam masa yang singkat - memang pernah dan pasti akan berlaku, walaupun
mungkin tidak selalu. Bagi kedua-dua keadaan yang pertama, bayangkan
apa yang bakal berlaku jika anggota-anggota infantri yang terlibat tidak
dibekalkan dengan benet? NVD sememangnya memberikan kelebihan kepada
penggunanya di waktu malam di mana kemaraan musuh ke kedudukan sendiri
dapat diketahui lebih awal tanpa dihalang kegelapan malam yang
seterusnya memberi cukup ruang bagi penggunanya bersedia untuk
menumpaskan lawan dengan tembakan dari rifel serta senjata bantuan namun
harus diingat seperti namanya NVD hanya untuk kegunaan malam dan
apabila peluru habis serta senjata rosak, NVD tidak lagi 100% merupakan
satu kelebihan. Bukan sepanjang masa – sama ada dalam peperangan di
kawasan penempatan atau di hutan malah di padang pasir sekalipun -
tembakan meriam dari pasukan artileri dan kereta kebal mampu membantu
menghancurkan musuh sepenuhnya.
Peluru membunuh secara
menembusi tubuh sasaran dengan kelajuan yang melampau dan ia membawa
kesan yang lebih baik jika dibandingkan dengan hentakan dan pukulan
dengan objek tumpul, yang sebenarnya dilihat lebih praktikal dalam
pergaduhan ala kumpulan samseng dalam skala kecil. Kuasa pembunuh dengan
tikaman pula walaupun tidak sepantas anak peluru yang diluncurkan
secara semburan dan dalam jumlah yang besar apabila melibatkan lebih
dari satu atau dua laras senjata, adalah lebih sesuai untuk pertempuran
berhadap-hadapan apabila melibatkan kegagalan penggunaan rifel yang
membuktikan keperluan kritikal infantri bagi benet. Adalah benar bahawa
pisau serbaguna juga banyak digunakan oleh infantri moden, bagaimanapun
ia lebih sesuai dalam keadaan di mana kesenyapan amat diperlukan,
contohnya apabila perlu membunuh sentri musuh. Dalam pertempuran
infantri tradisional ceritanya adalah berlainan sama sekali. Jika pisau
serbaguna yang sememangnya tidak dapat dipasangkan pada rifel digunakan,
ia sukar untuk memberi kelebihan taktikal pada penggunanya berbanding
lawan yang masih dapat menjarakkan dirinya dari si pengguna pisau yang
dipegang terus dengan tangan kerana menggunakan benet yang dipasang pada
muncung rifel.
Anggota infantri adalah penempur (combatant)
yang berada paling hadapan dalam satu-satu peperangan sesuai dengan
peranan mereka merapati dan membunuh musuh. Oleh itu mereka memerlukan
sifat berani, agresif dan kemampuan melakukan apa sahaja untuk
menumpaskan musuh dengan sebarang alat yang ada di tangan selain rifel
yang merupakan persenjataan utama. Dengan atau tanpa peluru, musuh yang
dihadapi mesti dihapuskan kerana bagi setiap musuh yang berjaya dibunuh
bermakna keupayaan pihak lawan untuk meneruskan pertempuran/peperangan
akan dapat dikurangkan dan misi infantri untuk merebut atau
mempertahankan sesebuah kawasan akan dapat dicapai. Percaya atau tidak,
menentang musuh secara berhadapan dengan pisau, walaupun yang dipasang
di hujung rifel memerlukan tahap keberanian yang amat tinggi, lebih dari
menembak mati musuh itu sendiri. Berdasarkan hujah ini dan tanpa ragu
lagi, benet adalah satu-satunya senjata pilihan akhir (last resort
weapon) yang mampu menanam sifat keberanian luar biasa bersama
penggunaannya dalam saat pertempuran infantri yang paling kritikal ini,
di mana musuh bukan lagi berada dalam titik bidikan pada pejera atau
dalam bulatan teropong infra-merah (IR), sebaliknya hanya beberapa meter
di hadapan. Harus diingat dalam keadaan di mana corak peperangan tidak
simetri semakin menjadi pilihan ketika ini, musuh akan melakukan apa
sahaja agar kelebihan teknologi dan kuasa tembakan pihak lawan tidak
dapat membantu.
Umpamanya untuk menyukarkan meriam lawan
dari digunakan untuk membantu infantri kerana khuatir jarak yang begitu
dekat akan menyebabkan berlakunya kejadian tertembak pasukan sendiri,
pihak yang menyerang akan merapati lawan mereka dalam jarak yang amat
dekat hingga menyebabkan bantuan bedilan artileri dan juga pengeboman
udara tidak dapat dilakukan. Atau satu serang hendap dilakukan dalam
kawasan penempatan yang sesak ke atas konvoi kenderaan atau tim ronda
berjalan kaki dengan objektif untuk menawan anggota musuh serta
kelengkapan mereka. Ini adalah antara keadaan yang memerlukan penggunaan
benet. Senjata tajam ini juga menurut satu kajian ke atas faktor
semangat dan psikologi infantri, sebenarnya adalah satu bentuk sokongan
moral yang memberi keyakinan kepada penggunanya dalam keadaan terdesak
di mana mereka masih boleh membunuh musuh dengan cara yang ganas dan
berdarah. Tentera darat Britain yang memang mempunyai reputasi sebagai
pasukan yang paling kuat mempertahankan tradisi rejimental adalah antara
angkatan darat yang dikatakan paling memberi penekanan terhadap
kecekapan menggunakan benet. Beberapa peristiwa serangan terhadap musuh
menggunakan senjata tajam itu oleh tentera darat Britain direkodkan
dalam konflik bersenjata pasca-Perang Dunia Kedua seperti di Falklands
bahkan dalam Perang Teluk Kedua.
Selain digunakan dalam
pertempuran berapat-rapat, benet adalah digunakan sebagai isyarat amaran
semasa mengawal tahanan perang di mana ia dipasang pada rifel oleh
anggota-anggota yang ditugaskan mengawal tawanan apabila ia perlu
dihimpunkan atau semasa tawanan merusuh dan semasa menjalankan tugas
mengawasi dan menyuraikan perhimpunan awam. Benet yang dipasang pada
rifel dalam perbarisan istiadat melambangkan keberanian dan kesediaan
setiap anggota tentera terbabit untuk berjuang habis-habisan selain
menambah kesegakan dan membuatkan kontingen perbarisan nampak ‘garang’
sesuai dengan sifat-sifat yang mesti dimiliki setiap anggota tentera
apabila bertempur.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa
benet adalah senjata yang menggabungkan kekuatan fizikal dengan
keteguhan jatidiri seorang tentera. Ungkapan ‘mata benet’ yang digunakan
oleh penulis-penulis Barat umpamanya merujuk kepada lambang serta
penggunaan kuasa tentera untuk menyelesaikan, mengekalkan atau
mempertahankan sesuatu. Paling utama, benet adalah lambang kesiapsiagaan
sesebuah angkatan darat untuk melaksanakan tanggungjawabnya
mempertahankan negara. Benet yang terhunus dengan matanya menghala ke
atas pada rekabentuk lambang-lambang pasukan, formasi, pusat latihan
malah lencana kelayakan tempur membawa maksud pertempuran dan
kesanggupan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir.
No comments:
Post a Comment