Sunday, January 20, 2013

Salam...
Kembali di tahun 2013...
Baru-baru ini seorang sahabat telah meminta agar dicarikan sebilah keris.. 
So...inilah sebilah Keris Melela, Lok 5..besi wangi....


Thursday, October 18, 2012

Benet

Peredaran zaman dan kemajuan teknologi mungkin merubah strategi dan doktrin ketenteraan, begitu juga ketiga-tiga cabang darat, laut dan udara mesti mampu untuk beroperasi bersama bagi memenangi peperangan. Namun hakikatnya, peperangan darat masih kekal dengan infantri sebagai teras kuasa tempur angkatan darat terbabit yang menentukan kalah-menang pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu konflik.
Pertempuran infantri adalah bentuk peperangan yang paling mencabar kekuatan diri kerana setiap anggota infantri yang terlibat perlu menghadapi pelbagai kemungkinan, antaranya bertempur secara rapat dan berdepan-depan dengan musuh. Ketika ini mereka harus menggunakan apa sahaja yang ada sebagai benteng terakhir untuk menghadapi serangan musuh.

    Benet adalah antara senjata yang digunakan dalam keadaan seperti itu, selalunya apabila anggota-anggota infantri terbabit telah kehabisan peluru. Benet merupakan pisau yang dipasang pada muncung rifel dan digunakan untuk membunuh soldadu lawan dengan cara tikaman. Senjata tajam ini begitu sinonim dengan infantri hinggakan selain masih kekal sebagai salah satu peralatan wajib infantri, ia juga menjadi sebahagian dari lambang kepada sesetengah kor dan rejimen, formasi briged dan divisyen serta pusat latihan bagi cabang tempur tersebut. Malah benet juga diguna pakai dalam cabang perkhidmatan laut dan udara serta pasukan polis awam semasa perbarisan istiadat.

Asal-usul
Nama benet (juga sering dieja sebagai bayonet) berasal dari perkataan Perancis (baïonnette) yang bermaksud pisau, belati atau senjata berbentuk tombak yang direkabentuk supaya muat dipasang pada laras senapang. Benet dikatakan direka oleh kaum Basque, golongan rakyat murba (peasant) yang menghuni bandar Bayonne di selatan Perancis semasa peperangan yang melibatkan mereka pada pertengahan abad ke-17.

    Pejuang-pejuang kaum ini yang kehabisan peluru, telah menyumbat muncung senapang lantak (musket) kuno masing-masing dengan hulu pisau pemburu mereka yang berbilah panjang, menjadikan senapang mereka sebagai tombak ‘sementara’ lalu menyerang musuh yang berada di hadapan. Ia telah memberi ilham kepada tentera darat Perancis untuk menjadikannya senjata tempur berapat-rapat, hasil usaha seorang pegawainya, Jeneral Jean Martinet.

    Penggunaan pisau ini juga telah mempengaruhi taktik infantri Eropah Barat seterusnya di peringkat sejagat hingga ke hari ini. Satu lagi versi menyatakan benet pertama dalam sejarah ketenteraan dicipta dan digunakan di China pada abad ke-13, bermula dari masalah ketidaktepatan peluru senapang lantak dan masa yang diambil untuk mengisi peluru bersama serbuk belerang ke dalam senjata api itu. Oleh kerana pertempuran infantri di zaman tersebut berlaku secara berapat-rapat dalam jarak yang semakin dekat bagi setiap gelombang tembakan, benet adalah senjata yang sesuai kerana ia menghasilkan luka yang mampu membunuh atau sekurang-kurangnya mengakibatkan kecederaan parah yang mengurangkan keupayaan tempur anggota musuh. Apabila anggota infantri musuh menyerbu dengan pantas dan berada dalam jarak terlalu dekat untuk senapang digunakan dengan berkesan, cara terbaik untuk menewaskannya adalah dengan penggunaan senjata tajam, sama seperti penggunaan pedang sebelum senjata api dicipta.
Rekabentuk – Dahulu dan Sekarang

Seperti yang telah diterangkan tadi, benet awal adalah dari jenis yang dicucuk hulunya ke dalam laras senjata menyebabkan senjata tidak dapat digunakan untuk menembak apabila benet digunakan. Oleh yang demikian benet dengan tangkai berbentuk gegelang yang disarung ke bahagian luar muncung senapang telah direka menjelang akhir 1670an. Penggunaan benet seperti ini membolehkan penembakan dilakukan tanpa perlu mencabut benet dari laras, dan benet boleh terus digunakan apabila keadaan memerlukan. Bagaimanapun rekabentuk ini masih satu kelemahan kerana ia tidak dapat digunakan berasingan dengan senapang. Kerana ketiadaan hulu sebenar yang cukup panjang untuk digenggam dengan tangan, senjata tajam tersebut tentunya tidak dapat dipegang dengan tetap serta selamat apabila digunakan sebagai pisau dan pasti akan mencederakan penggunanya sendiri, melainkan ia dari jenis lembing. Untuk mengatasi masalah ini benet dengan hulu berbentuk bulatan berongga (soket) yang muat untuk disarungkan ke muncung senapang direka. Jenis benet seperti ini digunakan dengan meluas oleh tentera negara-negara Eropah dari abad ke-17 hingga awal abad ke-20. Percaya atau tidak, ada rifel moden yang masih menggunakan benet jenis ini seperti sesetengah model rifel FN FAL (Belgium) dan INSAS (India).

    Benet berbentuk pedang pula menyusul pada abad ke-19. Ia adalah senjata berbilah panjang dengan satu atau dua mata yang juga boleh digunakan sebagai pedang pendek. Namun begitu benet pedang ini mempunyai kelemahannya kerana beratnya apabila dipasang di muncung rifel akan menyebabkan muncung rifel teranjak ke bawah setiap penembakan dilakukan, menyebabkan anggota tentera yang menggunakannya cenderung untuk tidak memasang benet ini dalam pertempuran. Benet jenis inilah yang kemudiannya membuka jalan kepada penggunaan benet berbentuk pisau iaitu jenis benet moden yang paling luas penggunaannya sekarang. Sesetengah angkatan darat masih menggunakan benet panjang ini hingga ke abad ke-20, antaranya tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Benet jenis pedang dan pisau mempunyai ‘hilt’ atau kepingan besi penghadang di antara hulu dengan mata) yang berlubang agar dapat disarungkan ke laras rifel dan mekanisme hilt yang membolehkan benet dipasangkan kepada alur benet yang dibuat di laras. Apabila dicabut dari rifel, benet ini berfungsi sebagai senjata peribadi dalam pertempuran berapat-rapat dengan musuh.

    Seperti yang dinyatakan tadi, benet pisau adalah evolusi dari benet pedang dan hanya berbeza dari segi ukuran panjang bilah mata. Aliran penggunaan benet jenis ini bermula semasa Perang Dunia Pertama apabila ukuran panjang mata benet pedang beransur-ansur dikurangkan hingga menjadi sependek mata pisau biasa. Oleh yang demikian fungsinya juga berganda sebagai pisau tempur. Hari ini benet moden menampilkan pelbagai ciri khas yang membolehkannya berfungsi lebih dari sebilah pisau untuk dipasang di hujung rifel dan menikam musuh – benet moden juga kini digunakan sebagai alat ikhtiar hidup, pemotong dawai dan sebagainya. Jika dahulu rata-rata mata benet pisau adalah lurus, kini sesetengahnya direka dengan mata gergaji bagi tujuan mengerat sebarang benda keras seperti kayu atau tali yang tebal dan kasar. Benet yang mempunyai ciri-ciri mirip sebilah pisau tempur serbaguna ini masih dihasilkan dan banyak digunakan khasnya oleh tentera negara-negara maju walaupun pisau ikhtiar hidup khusus yang berasingan turut dibekalkan kepada para anggotanya. Kebanyakan benet moden juga mempunyai permukaan cekung di tengah-tengah separuh atas bilahnya bagi mengurangkan berat benet tetapi dalam masa yang sama mengekalkan ketegangan bilah. Selain itu permukaan tersebut turut meningkatkan kekuatan bengkokan pada bilah senjata tajam ini. Sesetengah benet pisau contohnya seperti yang terdapat pada rifel SKS Rusia, merupakan sebahagian dari rifel di mana ia dipasang secara tetap dan boleh dilipatkan ke bawah laras apabila tidak digunakan.

    Walaupun kebanyakan benet yang digunakan di seluruh dunia hari ini adalah benet pisau, benet lembing (spike bayonet) juga masih digunakan dan ia boleh didapati pada rifel Type 56 dan karbin Type 68 (AK-47 dan SKS versi buatan China) di mana ia dipasang dengan mekanisme yang membolehkannya dilipatkan ke bawah laras apabila tidak digunakan. Rifel Mosin Nagant (Rusia), MAS-36 (Perancis) dan FG 42 (Jerman) yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua turut dilengkapi dengan benet lembing. Namun begitu kerana bentuk fizikalnya, ia tidak popular dikalangan angkatan-angkatan darat dunia kerana tidak boleh dijadikan pisau tempur/serbaguna serta hanya boleh digunakan sebagai senjata tikaman, bukan tetakan sepertimana benet berbentuk pisau. Mata benet biasanya diperbuat daripada keluli khasnya dari jenis yang mempunyai ketahanan tinggi bagi mengatasi kemungkinan patah atau bengkok.

Penggunaan Benet – Fakta dan Persoalan
Setiap benet pisau dan benet pedang dilengkapi dengan sarung (scabbard) yang dipasang pada talipinggang pada pakaian seragam anggota, dari pakaian seragam untuk perbarisan istiadat hingga ke pakaian seragam tempur. Ada juga sarung benet yang dipasang pada anak baju taktikal supaya lebih mudah dicapai seperti yang dilakukan oleh tentera darat Kanada. Ini kerana dalam operasi infantri moden, benet tidak dipasang sepanjang masa di hujung rifel sepertimana pada abad ke-19 dan sebelumnya. Benet yang dipasang pada rifel dalam tempoh berpanjangan akan mengurangkan ketepatan tembakan pada jarak jauh kerana beratnya boleh mengganggu keseimbangan rifel. Apabila ia perlu digunakan, benet akan dipasang pada hujung rifel di mana alur benet yang dibuat di belakang pengedap percikan api akan ‘memegang’ benet manakala pengunci yang berada di belakang kedudukan pengedap percikan api akan menahan bahagian bawah hulu benet untuk mengelakkannya dari bergoyang atau tergelincir ke belakang atau tercabut semasa benet dihayun ke arah lawan dan ditikam ke sasaran.

    Sebagai senjata yang telah dipelbagaikan peranannya kepada pisau serbaguna menerusi perubahan rekabentuk, benet mempunyai pelbagai fungsi dan setiap bahagiannya baik bilah mahu pun hulunya berguna untuk melakukan pelbagai tugas. Sebagai contoh kebanyakan benet moden sama ada buatan Barat mahupun Rusia mempunyai lubang atas bahagian atas hujung matanya untuk dimuatkan pada tombol di hujung sarung dan apabila disilangkan, digunakan untuk mengerat dawai. Selain itu ada juga yang dilengkapi dengan pemutar skru dan pembuka botol malah lampu neon mini yang memberi amaran kepada penggunanya tentang kewujudan arus elektrik pada dawai yang dikerat! Disamping menjadi alat bantuan untuk mengerat dawai, sarung benet juga mempunyai satu fungsi yang tidak kurang penting iaitu sebagai alat pengasah bagi mata benet itu sendiri. Dahulu batu asah dipasang dalam sarung di mana ia akan berfungsi setiap kali benet dikeluarkan dan disarung kembali namun kini batu asah dipasangkan di luar sarung kerana cara ini lebih praktikal. Sesetengah sarung benet moden turut dibuat agar boleh dipasang dengan saku kecil di luarnya bagi memuatkan barangan tertentu seperti kelopak peluru untuk pistol, misalnya.

    Penggunaan benet dalam pertempuran adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan kerana ia pernah dan masih dianggap oleh sesetengah pihak termasuk pemerhati ketenteraan sebagai sesuatu yang usang dalam zaman moden ini. Hujah mereka, dengan adanya alat pandang malam (NVD) berteknologi tinggi yang begitu mudah didapati dan dioperasikan oleh banyak angkatan darat, serangan ‘gelombang manusia’ dengan benet terhunus seperti yang biasa dipaparkan dalam filem-filem perang klasik bakal mengundang malapetaka kepada penyerang dalam bentuk hujan peluru dari rifel tempur dan mesingan serta lain-lain senjata bantuan yang bakal merobek tubuh mereka sebelum sempat membenamkan benet ke tubuh lawan! Ia sememangnya tidak dapat disangkal lagi namun persoalannya, mengapa benet masih lagi digunakan dengan meluas oleh kesemua angkatan darat dunia dari milik kuasa-kuasa besar hinggalah ke negara-negara dunia ketiga? Mengapa para rekrut dan pegawai kadet dalam cabang perkhidmatan berkenaan masih lagi dilatih bertempur menggunakan benet sebagai sebahagian dari pelajaran ilmu medan perang (IMP) dalam alaf baru ini? Jika benar benet tidak lagi perlu dalam peperangan infantri moden mengapa semua rifel tempur yang ada hari ini termasuk versi laras pendek dan bullpup masih mempunyai alur dan kuncian benet?

    Jawapannya ada medan dan suasana pertempuran darat itu sendiri. Walaupun benet dikatakan semakin kurang penggunaannya bersama peningkatan teknologi persenjataan moden, aksesori awal rifel ini terus kekal sebagai perkakasan wajib infantri walau di mana juga bahagian dunia - dalam angkatan darat, kor marin, cabang pertahanan darat angkatan udara, cabang separa tentera polis awam, militia bahkan unit-unit gerila. Seperti yang telah di awal rencana ini, apa sahaja boleh berlaku dalam suasana gawat pertempuran. Sama ada semasa peperangan revolusi Amerika pada tahun 1770an hinggalah ke konflik Iraq dan Afghanistan dalam zaman yang juga digelar sebagai abad peperangan siber ini - bekalan peluru habis, senjata mengalami kerosakan dan jarak di antara kedua-dua pihak yang bertempur yang boleh mengecil dalam masa yang singkat - memang pernah dan pasti akan berlaku, walaupun mungkin tidak selalu. Bagi kedua-dua keadaan yang pertama, bayangkan apa yang bakal berlaku jika anggota-anggota infantri yang terlibat tidak dibekalkan dengan benet? NVD sememangnya memberikan kelebihan kepada penggunanya di waktu malam di mana kemaraan musuh ke kedudukan sendiri dapat diketahui lebih awal tanpa dihalang kegelapan malam yang seterusnya memberi cukup ruang bagi penggunanya bersedia untuk menumpaskan lawan dengan tembakan dari rifel serta senjata bantuan namun harus diingat seperti namanya NVD hanya untuk kegunaan malam dan apabila peluru habis serta senjata rosak, NVD tidak lagi 100% merupakan satu kelebihan. Bukan sepanjang masa – sama ada dalam peperangan di kawasan penempatan atau di hutan malah di padang pasir sekalipun - tembakan meriam dari pasukan artileri dan kereta kebal mampu membantu menghancurkan musuh sepenuhnya.

    Peluru membunuh secara menembusi tubuh sasaran dengan kelajuan yang melampau dan ia membawa kesan yang lebih baik jika dibandingkan dengan hentakan dan pukulan dengan objek tumpul, yang sebenarnya dilihat lebih praktikal dalam pergaduhan ala kumpulan samseng dalam skala kecil. Kuasa pembunuh dengan tikaman pula walaupun tidak sepantas anak peluru yang diluncurkan secara semburan dan dalam jumlah yang besar apabila melibatkan lebih dari satu atau dua laras senjata, adalah lebih sesuai untuk pertempuran berhadap-hadapan apabila melibatkan kegagalan penggunaan rifel yang membuktikan keperluan kritikal infantri bagi benet. Adalah benar bahawa pisau serbaguna juga banyak digunakan oleh infantri moden, bagaimanapun ia lebih sesuai dalam keadaan di mana kesenyapan amat diperlukan, contohnya apabila perlu membunuh sentri musuh. Dalam pertempuran infantri tradisional ceritanya adalah berlainan sama sekali. Jika pisau serbaguna yang sememangnya tidak dapat dipasangkan pada rifel digunakan, ia sukar untuk memberi kelebihan taktikal pada penggunanya berbanding lawan yang masih dapat menjarakkan dirinya dari si pengguna pisau yang dipegang terus dengan tangan kerana menggunakan benet yang dipasang pada muncung rifel.

    Anggota infantri adalah penempur (combatant) yang berada paling hadapan dalam satu-satu peperangan sesuai dengan peranan mereka merapati dan membunuh musuh. Oleh itu mereka memerlukan sifat berani, agresif dan kemampuan melakukan apa sahaja untuk menumpaskan musuh dengan sebarang alat yang ada di tangan selain rifel yang merupakan persenjataan utama. Dengan atau tanpa peluru, musuh yang dihadapi mesti dihapuskan kerana bagi setiap musuh yang berjaya dibunuh bermakna keupayaan pihak lawan untuk meneruskan pertempuran/peperangan akan dapat dikurangkan dan misi infantri untuk merebut atau mempertahankan sesebuah kawasan akan dapat dicapai. Percaya atau tidak, menentang musuh secara berhadapan dengan pisau, walaupun yang dipasang di hujung rifel memerlukan tahap keberanian yang amat tinggi, lebih dari menembak mati musuh itu sendiri. Berdasarkan hujah ini dan tanpa ragu lagi, benet adalah satu-satunya senjata pilihan akhir (last resort weapon) yang mampu menanam sifat keberanian luar biasa bersama penggunaannya dalam saat pertempuran infantri yang paling kritikal ini, di mana musuh bukan lagi berada dalam titik bidikan pada pejera atau dalam bulatan teropong infra-merah (IR), sebaliknya hanya beberapa meter di hadapan. Harus diingat dalam keadaan di mana corak peperangan tidak simetri semakin menjadi pilihan ketika ini, musuh akan melakukan apa sahaja agar kelebihan teknologi dan kuasa tembakan pihak lawan tidak dapat membantu.

    Umpamanya untuk menyukarkan meriam lawan dari digunakan untuk membantu infantri kerana khuatir jarak yang begitu dekat akan menyebabkan berlakunya kejadian tertembak pasukan sendiri, pihak yang menyerang akan merapati lawan mereka dalam jarak yang amat dekat hingga menyebabkan bantuan bedilan artileri dan juga pengeboman udara tidak dapat dilakukan. Atau satu serang hendap dilakukan dalam kawasan penempatan yang sesak ke atas konvoi kenderaan atau tim ronda berjalan kaki dengan objektif untuk menawan anggota musuh serta kelengkapan mereka. Ini adalah antara keadaan yang memerlukan penggunaan benet. Senjata tajam ini juga menurut satu kajian ke atas faktor semangat dan psikologi infantri, sebenarnya adalah satu bentuk sokongan moral yang memberi keyakinan kepada penggunanya dalam keadaan terdesak di mana mereka masih boleh membunuh musuh dengan cara yang ganas dan berdarah. Tentera darat Britain yang memang mempunyai reputasi sebagai pasukan yang paling kuat mempertahankan tradisi rejimental adalah antara angkatan darat yang dikatakan paling memberi penekanan terhadap kecekapan menggunakan benet. Beberapa peristiwa serangan terhadap musuh menggunakan senjata tajam itu oleh tentera darat Britain direkodkan dalam konflik bersenjata pasca-Perang Dunia Kedua seperti di Falklands bahkan dalam Perang Teluk Kedua.

    Selain digunakan dalam pertempuran berapat-rapat, benet adalah digunakan sebagai isyarat amaran semasa mengawal tahanan perang di mana ia dipasang pada rifel oleh anggota-anggota yang ditugaskan mengawal tawanan apabila ia perlu dihimpunkan atau semasa tawanan merusuh dan semasa menjalankan tugas mengawasi dan menyuraikan perhimpunan awam. Benet yang dipasang pada rifel dalam perbarisan istiadat melambangkan keberanian dan kesediaan setiap anggota tentera terbabit untuk berjuang habis-habisan selain menambah kesegakan dan membuatkan kontingen perbarisan nampak ‘garang’ sesuai dengan sifat-sifat yang mesti dimiliki setiap anggota tentera apabila bertempur.

    Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa benet adalah senjata yang menggabungkan kekuatan fizikal dengan keteguhan jatidiri seorang tentera. Ungkapan ‘mata benet’ yang digunakan oleh penulis-penulis Barat umpamanya merujuk kepada lambang serta penggunaan kuasa tentera untuk menyelesaikan, mengekalkan atau mempertahankan sesuatu. Paling utama, benet adalah lambang kesiapsiagaan sesebuah angkatan darat untuk melaksanakan tanggungjawabnya mempertahankan negara. Benet yang terhunus dengan matanya menghala ke atas pada rekabentuk lambang-lambang pasukan, formasi, pusat latihan malah lencana kelayakan tempur membawa maksud pertempuran dan kesanggupan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir.

Badik Kelantan(kecil)

Badik merupakan senjata Melayu yang bermula dari Sulawesi, Indonesia yang terdapat dalam dua jenis iaitu mempunyai mata yang lurus dan yang berkeluk seperti keris. Bentuknya menyerupai Tumbuk Lada tetapi panjang matanya di antara 18 - 20 sm. dan lebar 2 sm. Badik mempunyai mata yang tebal di bahagian belakangnya dan meruncing dihujungnya. Hulu dan sarungnya diperbuat daripada kayu, tanduk dan gading serta dihias dengan motif awan larat. [1]
Bentuk badik, hampir sama dengan bentuk tumbuk lada tetapi lebih besar dan kurang pula daripada segi ukiran. Matanya lebih tegak, hulunya membongkok ke bawah.[2]
Badik misalnya, cukup popular selepas Kerajaan Inggeris/Belanda mengharamkan penggunaan keris. Matanya ditempa daripada besi terpilih manakala ulunya diperbuat daripada kayu, gading, tanduk serta dihiasi dengan logam emas dan perak. Selain digunakan untuk mempertahankan diri, badik juga menjadi pisau memotong daging, bawang dan menyembelih haiwan..
 Berbeza pula dengan badik kecil yang lebih dikenali dengan badik kelantan, saiznya lebih kecil. ada berpendapat, badik ini sesuai digunakan oleh kaum hawa sepertimana kerambit, iaitu sebagai senjata sulit bagi mempertahankan diri.
Berminat, sila hubungi saya...

Friday, April 8, 2011

Buku Lima @ Kuku Rimau


Merupakan senjata kecil yang bukan untuk membunuh, tetapi hanya sebagai 'habuan'berbisa dalam pertempuran. Biasanya digunakan bagi mengalahkan lawan yang lebih handal, atau bertubuh sasa, atau yang dirasakan `tak makan cekak'. Buku lima diasaskan dari bentuk penumbuk. Sebagai hiasan barang keras pada penumbuk, buku lima ditambah yang mana sedia maklum akan memberikan pukulan yang sangat berbisa, sekaligus menghilangkan cabaran musuh.
Buku lima diperbuat dari bahan logam besi atau tembaga dan dijadikan sebagai senjata sulit. Namun begitu ianya jarang digunakan dalam pertempuran, tetapi hanya untuk tempur satu lawan satu.
Biasanya dipakai tanpa disedari lawan, dan pukulan 'curi'digunakan secara helah. Sasaranya pada muka yang mana akan memberikan kecederaan parah.
Terdapat 2 jenis buku lima iaitu jenis,`genggaman'
dan jenis 'sarung'. Jenis genggaman mempunyai mata yang rata dan mudah terlepas jika genggaman tidak kuat atau musah mahir dalam kuncian. Berbanding pula dengan jenis sarung yang mempunyai mata tajam pada bahagian luar genggaman yang mana mudah dilihat oleh musuh tetapi sukar terlepas dari tangan. Ada juga penyerang yang menanam 'besi kuning' pada buku lima mereka. Menurut ceritanya sesiapa yang terkena buku lima ini akan menemui maut atau setidak-tidaknya akan muntah darah dan menanggung penderitaan. Buku lima yang ditanam besi kuning juga boleh menewaskan ilmu kebal dan menawarkan ilmu hitam.
Buku lima hanya digunakan sekali sahaja dalam pertempuran, ini mengelakkan daripada diketahui oleh lawan yang mana boleh menyebabkan dendam yang berpanjangan. Tetapi jika sekali pukul lawan pengsan, ini akan memberikan kesedaran pada musuh akan kehebatan kita.